Sudah beberapa bulan rakyat Malaysia akan menyambut jubli emas kemerdekaan negara. Ulang tahun kemerdekaan ke 50 ini amat bermakna bagi rakyat Malaysia. Saban tahun kita berganding bahu memajukan negara mengikut acuan yang telah dipersetujui. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Oleh YAB Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sudah pasti tidak akan terpadam dari lipatan sejarah negara dan perlu selalu diingati bagi menaikkan semangat kecintaan terhadap negara bertuah ini.
Lima puluh tahun kemerdekaan adalah tempoh singkat berbanding empat ratus empat puluh enam tahun negara dijajah. Sejarah menyaksikan kita dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan juga Jepun. Tentulah dalam tempoh penjajahan begitu lama, kesan penjajahan agak sukar dihapuskan. Namun itu bukan alasan untuk tidak membebaskan diri kita dari minda penjajah itu. Kemajuan negara berbanding lima puluh tahun lampau amatlah ketara. Berbanding negara lain yang turut sama merdeka seusia Malaysia, kita sudah jauh mendepani dalam banyak aspek terutama pendidikan, pencapaian ekonomi dan juga kestabilan politik. Sebagai rakyat yang sedar, kita bersyukur kepada Allah serta berazam untuk menjaga nikmat kemakmuran dianugerahinya. Ucapan tahniah diberikan kepada setiap rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, termasuklah pihak kerajaan yang memacu kemajuan negara sehingga disegani di setiap pelosok dunia.
Namun dalam kita menikmati kemerdekaan ini, terdapat beberapa aspek yang mana kita masih terus dijajah. Umpamanya kebergantungan Mahkamah Sivil di Malaysia terhadap Undang-undang Lazim Inggeris (English Common Law) melalui seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 masih lagi merupakan aspek penting dalam penghakiman di mahkamah. Kita masih lagi meminggirkan budaya, adat resam, norma dan agama kita dengan mengimport tata budaya dan norma asing di dalam undang-undang kita iaitu Undang-undang Lazim Inggeris. Saranan YAA Tun Ahmad Fairuz, Ketua Hakim Negara baru-baru ini supaya Undang-undang Lazim Malaysia digarap dengan menyuntik elemen undang-undang dan jurisprudens Islam amat di alu-alukan. Ia ditambah pula dengan kenyataan tegas Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang yang terbaik.
Kenyataan dua tokoh kehakiman dan perundangan ini merupakan manifestasi betapa perlunya peruntukan tersebut dipinda dan undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia yang telah lima puluh tahun merdeka. Tambatan kepada undang-undang Inggeris ini perlu dihentikan dan keutamaan kepada prinsip undang-undang Islam yang lebih mencerminkan kehendak majoriti rakyat Malaysia mesti direalisasikan. Namun, golongan ultra sekular yang tidak menelusuri hakikat sejarah negara seperti Majlis Peguam Malaysia menentang cadangan tersebut. Begitu juga beberapa kumpulan NGO yang mendakwa Undang-undang Lazim Inggeris telah berperanan baik selama lima puluh tahun kemerdekaan negara. Tentangan sebegini seolah-olah mahu membawa kita ke era sebelum kemerdekaan. Mengutamakan norma dan budaya penjajah berbanding dengan norma dan budaya masyarakat sendiri adalah suatu yang amat dikesali. Apakah dengan mempelajari ilmu undang-undang di negara Inggeris contohnya meletakkan kecintaan kepada norma-norma dan budaya mereka di atas dari norma dan budaya negara sendiri? Ini menunjukkan kongkongan pemikiran penjajah masih menebal dalam diri segelintir ahli masyarakat kita sehingga menolak budaya majoriti rakyat Malaysia.
Sikap ini timbul akibat kedangkalan ilmu terhadap undang-undang Islam yang adil tanpa mengira bangsa dan agama. Keadilan undang-undang Islam bukan hanya kepada manusia malah kepada sekalian alam semesta. Perkara ini dapat dilihat umpamanya di dalam undang-undang Islam, pemeliharaan alam sekitar dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar adalah suatu perkara penting dan diambil berat. Dalam ekonomi pula, kesejahteraan masyarakat dari penindasan riba yang memudaratkan adalah keutamaan di sisi Undang-undang Islam. Undang-undang Islam lebih mementingkan aspek tanggungjawab manusia manakala undang-undang Barat seperti undang-undang Inggeris pula lebih mengutamakan hak. Atas dasar itu, kita melihat golongan sebegini terlalu mementingkan hak asasi manusia berbanding dengan tanggungjawab asasi manusia.
Keadaan ini turut membawa kepada keangkuhan terhadap Pencipta dengan menuntut pelbagai hak tanpa melunaskan tanggungjawab mereka terlebih dahulu. Natijahnya ialah masyarakat menjadi terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab bersama. Masyarakat juga menjadi terlalu individualistik dan tidak memadu kudrat bagi mempertahankan identiti dan sahsiah diri. Undang-undang Islam menyeluruh sangat perlu kita pelajari supaya kefahaman kita akan lebih terjurus ke arah yang benar. Justeru, saranan Perdana Menteri yang diedarkan melalui pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi supaya semua pengajian undang-undang di seluruh IPT negara ini dilengkapkan dengan pengajian undang-undang Syariah adalah suatu yang sangat baik dan dialukan. Ia akan membawa kepada kedudukan perundangan yang lebih baik di masa akan datang apabila semua pengkaji dan pengamal undang-undang melihat Undang-undang Islam dari kaca mata sebenar dan menilai norma dan budaya bangsa sendiri lebih utama dari budaya dan norma Inggeris.
Sikap segelintir ahli masyarakat yang tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka sepenuhnya adalah berpaksikan kepada ketidakfahaman tentang ajaran Islam serta kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan. Apa yang diusahakan oleh orang Islam kini hanyalah untuk mengembalikan Islam pada kedudukannya yang sebenar sebagaimana sebelum kedatangan para penjajah. Kelahiran golongan ultra sekular ini di saat negara mencecah lima puluh tahun merdeka adalah fenomena yang amat dikesali. Golongan ini juga seolah-olah menggambarkan pihak yang mahukan Islam adalah golongan menolak undang-undang semasa dan anti perpaduan.
Pelbagai tohmahan dilemparkan termasuklah menuntut pihak-pihak yang inginkan Islam ini meletak jawatan, disingkirkan dari jawatan dan sebagainya. Sesungguhnya ini adalah tindakan tidak bertamadun dan tidak menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Pihak inginkan Islam tidak pernah meminggirkan perpaduan kerana perpaduan itu sendiri adalah tuntutan di dalam Islam. Apa yang diperjuangkan ialah undang-undang lebih adil dan mengamalkan suruhan agama dalam erti kata sebenarnya.
Dalam hal demikian sudah tiba masanya pengamal undang-undang di Malaysia mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian dari kehidupan rakyat Malaysia. Islam telah sebati di dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia. Malah rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat ini. Marilah sama-sama kita membuat anjakan paradigma ke arah mewujudkan dan melaksanakan Undang-undang Lazim Islam atau boleh dipanggil Undang-undang Lazim Malaysia yang lebih sesuai dan adil kepada seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Mahkamah syariah tak praktis ‘stare decisis’
PENGHAKIMAN Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes rayuan dua beradik Au Meng Nam dan Ming Kong minggu lalu yang dilaporkan sebuah akhbar menarik perhatian. Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram menyatakan mahkamah persekutuan (dari segi kedudukan, Mahkamah Persekutuan adalah lebih atas dari mahkamah rayuan) sudah khilaf keputusannya dalam kes Adorna Properties Sdn Bhd lawan Boonsom Boonyanit.Ruangan Peguam Syarie Menulis kali ini tidak berhasrat mengupas prinsip dalam kes Adorna Properties tetapi melihat pemakaian ‘Doktrin Duluan Mengikat’ di mahkamah sivil. Dalam kes di atas, mahkamah rayuan memutuskan prinsip dalam kes Adorna Properties tidak perlu diikuti oleh mahkamah rayuan kerana bertentangan dengan peruntukan Kanun Tanah Negara. Dua hakim lain iaitu Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Hasan Lah meminta supaya semakan dibuat tetapi menegaskan mereka terikat dengan keputusan yang dibuat mahkamah yang lebih tinggi sejajar dengan ‘Doktrin Duluan Mengikat’.
Oleh demikian, mahkamah persekutuan akan membuat semakan terhadap keputusan berkenaan.Gopal seterusnya mengatakan bahawa keputusan mahkamah mentafsirkan peruntukan undang-undang secara salah tidak perlu dipatuhi mahkamah bawahan. Dalam hal demikian, Hakim Gopal tidak mengaplikasikan ‘Doktrin Duluan Mengikat’ itu.‘Doktrin Duluan Mengikat’ atau ‘stare decisis’ adalah suatu kaedah di mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikut oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan terdahulu itu betul atau sebaliknya.
Doktrin itu bertujuan memastikan keseragaman keputusan mahkamah. Ia juga bagi menjamin mahkamah bawahan mengikuti keputusan mahkamah atasan.Realitinya memang ada banyak kes di mana mahkamah bawahan tidak mengikut prinsip itu secara harfiah dengan memberi pelbagai alasan termasuk membezakan kes mahkamah bawahan itu dengan kes yang diputuskan mahkamah lebih tinggi.
Namun kes Au Meng Nam dan Ming Kong agak berbeza kerana hakim menyatakan tanpa sebarang keraguan bahawa mahkamah atasan khilaf dan tidak perlu diikuti prinsipnya.Sebagai pengamal undang-undang yang dilatih dalam bidang guaman sivil dan syariah, penulis terpanggil untuk memberi sedikit pandangan sambil membuat perbandingan apa yang berlaku di mahkamah syariah.
Prinsip ‘stare decisis’ ini tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Namun dalam membuat sebarang keputusan di Mahkamah Syariah, hakim mahkamah bawahan perlu menghormati prinsip kes yang diputuskan mahkamah lebih tinggi. Tahap penghormatan itu pula tidak sampai mengikat mereka membuat keputusan tetapi mempunyai nilai mempengaruhi keputusan mahkamah bawahan saja.
Penerimaan konsep itu boleh dilihat dalam surat Saidina Umar al Khattab kepada Kadi Kufah, Abu Musa Asyhari bermaksud, “Dan sesiapa yang mendakwakan sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, atau suatu bukti, maka berilah tempoh kepadanya sampai ia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian jika dia dapat membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi jika dia tidak mampu membuktikannya maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi.
Dan jangan sekali-kali menghalangi kepadamu sesuatu keputusan yang sudah engkau putuskan pada hari ini, kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk supaya engkau kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus didahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada terus berada dalam kebatilan.”Adalah jelas maksud surat itu iaitu sesuatu keputusan salah boleh dipinggirkan oleh hakim tanpa mengira tahap mahkamah itu sendiri kerana apa yang penting ialah memberi keadilan dalam sesuatu keputusan.
Pada masa sama, Islam mengakui hakikat seorang hakim walau setinggi manapun kedudukannya mungkin akan tersilap atau terkhilaf dalam penghakimannya. Oleh demikian, kepatuhan secara membuta tuli tidak perlu diberikan kepadanya.Prinsip itu sudah dipakai mahkamah syariah sejak sekian lama.
Untuk menguatkan perkara ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah mengeluarkan Arahan Amalan No 1 Tahun 2002 iaitu; ‘Mesyuarat sudah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada persamaan yang sudah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah yang lebih rendah.’
Arahan Amalan itu dapat menjamin sebahagian konsep penyeragaman penghakiman tanpa menafikan kreativiti kehakiman. Dengan itu, hakim mahkamah syariah tidak boleh mengambil jalan mudah dengan berkata beliau terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi.Hakim perlu membuat penghakiman yang beliau yakin atas keputusannya, dengan alasan penghakiman yang tepat dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain.
Namun begitu, keputusan mahkamah lebih tinggi adalah menjadi panduan kepada hakim mahkamah bawahan untuk membuat keputusan.Apatah lagi pada masa ini kes diputuskan di Mahkamah Syariah sudah mula dilaporkan dengan lebih sistematik di dalam Jurnal Hukum, Laporan Undang-undang Shariah dan pelbagai jurnal undang-undang lain.
Dengan cara itu, hakim dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan kes yang dibicarakan di hadapan mereka. Apatah lagi, kita juga perlu akur bahawa tiada satu kes pun fakta dan persoalannya sama dengan kes yang lain. Dalam hal demikian, memang wajarlah ada sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu.Perbezaan seperti itu perlu dilihat daripada lensa yang positif. Ia membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping menyesuaikan sesuatu penghakiman dengan fakta kes dan sebagainya.
Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan dan perubahan masa dan tempat. Tidak salah kita berbeza pandangan dalam hal cabangan tetapi perbezaan itu mestilah ditangani dengan cara penuh hikmah. Dalam Islam terdapat adab yang digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab itu atau apa yang dipanggil sebagai adab al-ikhtilaf mestilah dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan.