Pada minggu sebelum ini telah berlangsung satu majlis syarahan bagi memperingati tokoh perundangan Negara Professor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim di ibu kota dianjurkan oleh Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Profesor Ahmad adalah ilmuwan Islam yang ulung yang tidak pernah jemu berjuang untuk memartabatkan perjuangan Syariah di Malaysia. Majlis ini sebenarnya mengumpulkan ratusan pejuang dan pengamal undang-undang terutama hasil didikan Profesor Ahmad semasa hayat beliau. Keilmuan, kesungguhan dan semangat kental dan perjuangan Profesor turut mengalir dan disambung oleh generasi hari ini yang prihatin kepada perundangan Syariah di Malaysia.
Segala sumbangan beliau akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam Seminar Memperingati Prof Ahmad Ibrahim yang akan dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada penghujung bulan ini. Sumbangan beliau tiada tolok bandingnya dan sudah tentu menjadi renungan dan contoh teladan kepada semua pejuang Syariah.Namun ruangan kali ini bukanlah bertujuan membincangkan sumbangan Profesor secara khusus. Semasa majlis Syarahan tersebut, penulis dan ramai lagi lepasan Universiti Islam Antarabangsa telah berkumpul dan bertemu dengan rakan-rakan lama dan pensyarah-pensyarah UIA berkenaan.
Semasa majlis tersebut, penulis berkesempatan berbincang ringkas dengan Prof Madya Dr Syed Ahmad Al Sagoff yang pernah mengajar penulis sebelum ini. Beliau telah memberi begitu banyak mutiara-mutiara nasihat dan perangsang agar kami meneruskan perjuangan memartabatkan perundangan syariah di Malaysia. Dr Syed Ahmad juga telah menghadiahkan penulis sebuah buku tulisan beliau yang bertajuk “Al Diya as compensation for homicide wounding in Malaysia.’ Buku ini membincangkan mengenai pembayaran diyah atau pampasan dalam kes-kes tort dan jenayah di Malaysia. Pemberian tersebut sangat bermakna bagi penulis.
Isi kandungan buku tersebut sangat semasa dan beliau telah memberi satu perspektif baru kepada perundangan yang diamalkan di negara ini khususnya dalam bidang undang-undang tort dan jenayah. Walaupun sebenarnya ia bukanlah perspektif baru secara hakikatnya, tetapi apa yang dibincangkan dalam buku tersebut membawa kita menilai kembali apa yang diamalkan oleh masyarakat Islam dewasa ini dan yang telah diamalkan pada suatu ketika dahulu.Dari aspek undang-undang jenayah negara kita, perlakuan jenayah adalah bersifat “jenayah terhadap Negara”. Oleh demikian negaralah yang mengambil tindakan terhadap penjenayah tersebut.
Situasi ini mengesampingkannya hak-hak keluarga mangsa dalam memaafkan perbuatan penjenayah tersebut ataupun meminta ganti rugi daripada penjenayah itu.Adalah jelas bahawa sesuatu perbuatan yang telah dilakukan tidak boleh diundur kembali. Umpamanya kita tidak boleh menghidupkan kembali orang yang telah mati ataupun tidak boleh memulihkan seperti sediakala kecederaan kekal yang dialami oleh mangsa. Walaupun penjenayah itu disabitkan atas pertuduhan terhadapnya dan dijatuhkan hukuman melalui undang-undang namun pembelaan kepada keluarga mangsa sering kali diabaikan.Sebuah keluarga yang telah kehilangan ketua yang mencari sumber rezeki sudah tentu akan menghadapi pelbagai masalah untuk meneruskan kehidupan mereka.
Situasi ini akan memberi implikasi terhadap struktur keluarga dan pembangunan bangsa dan modal insan Negara. Sekiranya kita merujuk kepada undang-undang Islam, keluarga mangsa mempunyai hak tertentu bagi melindungi kepentingan keluarga mereka melalui diyah. Mereka berhak mendapat ganti rugi yang telah ditetapkan dan memaafkan penjenayah tersebut. Kadar diyah itu juga dibincangkan dengan panjang lebar oleh penulis buku berkenaan. Ia berbeza umpamanya bagi kes-kes mendatangkan mudarat dengan sengaja dan yang mana dilakukan dengan cara tidak sengaja.
Buku 15 bab ini amat menarik untuk dibaca dan ia memberi lensa baru kepada kita dalam melihat paradigma undang-undang negara. Bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan Negara ke 50 tidak lama lagi, kita perlu melihat semula undang-undang kita supaya ia akan dapat memberi keadilan yang lebih kepada rakyat Malaysia. Sering kali kita membaca di dada akhbar keluarga yang tidak berpuas hati walaupun penjenayah tersebut telah dihukum. Sempena ulang tahun kemerdekaan Negara ini juga, kita perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru yang lebih sesuai dengan norma-norma kehidupan masyarakat setempat berbanding hanya menuruti apa yang diamalkan oleh penjajah yang tidak semestinya bersesuaian dengan kehendak masyarakat setempat.
Undang-undang hendaklah mengabadikan aspirasi dan kehendak masyarakat setempat serta berupaya menjamin kesejahteraan masyarakat.Undang-undang Islam dalam aspek ini tidak hanya mementingkan hukuman malah juga memastikan keluarga mangsa tidak menderita akibat perbuatan jenayah itu. Sudah tentulah undang-undang sebegini lebih adil dan tidak membebankan masyarakat.Persoalan dan kupasan mengenai betapa Islam amat menghargai dan melindungi diri dan nyawa manusia diperincikan dalam buku ini. Bahawa kemuliaan kepada kedudukan insan membawa kepada setiap titik darah manusia mempunyai nilai yang wajib dipelihara.
Pemecahan tanggungan terhadap jaminan ini akan mengakibatkan pelanggarnya membayar ganti rugi kepada mangsa atau keluarga mangsa. Undang-undang tort yang banyak di pakai di Malaysia boleh mengaplikasi prinsip Islam ini dengan memberi lebih keadilan kepada mangsa. Umpamanya dalam kes-kes kemalangan, sebenarnya telah diperincikan dengan begitu jelas sekali dalam Islam bagaimana pampasan atau ganti rugi itu diberi kepada mangsa atau keluarga mangsa. Panduan ini akan memudahkan mahkamah memberi penghakiman yang adil terutamanya di dalam kes-kes kemalangan jalan raya. Ia sebenarnya bukanlah asing dalam undang-undang Islam.
Dalam bab terakhir buku tersebut, Dr Syed Ahmad turut memberi pandangan dan cadangan ke arah mengguna pakai undang-undang tort berasaskan Islam di dalam undang-undang Negara. Cadangan beliau sangat baik dan wajar diketengahkan serta diperhatikan oleh semua. Membaca buku ini mengingatkan kembali penulis kepada zaman terdahulu semasa penulis dan kawan-kawan menimba ilmu daripada beliau dan pensyarah yang lain di UIA ini termasuklah Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim. Semoga Profesor Ahmad Ibrahim, Dr Syed Ahmad dan semua pensyarah yang telah menaburkan jasa mendidik generasi baru akan diberkati dan dikurniakan ganjaran sebanyaknya di sisi Allah.
Begitu juga semoga para pelajar hasil didikan mereka akan menghargai dan mengambil manfaat hasil ilmu-ilmu Islam yang dipelajari dan berusaha teguh menyambung perjuangan mereka yang terdahulu dari kita ke arah membina negara Malaysia yang lebih aman, gemilang demi ketinggian masyarakat Islam dan ke arah memartabatkan perundangan Syariah di negara ini.
No comments:
Post a Comment